Hantu Kak Limah Benar-Benar Wujud?
Setahu penulis, filem komedi Hantu Kak Limah berdasarkan sebuah kisah seram yang berlaku di Perak tetapi sekarang ini tengah kecoh yang ia muncul di Marang, Terengganu, pulak dah!
Itulah yang diperkatakan sebuah keluarga di Kampung Temiang, Pengkalan Berangan, apabila lima sekeluarga tertekan dan ketakutan akibat diganggu lembaga wanita tua berambut panjang yang seakan-akan hantu Mak Limah sejak lebih seminggu lalu.
Wanita misteri itu dikatakan sering menjelma dan dilihat merayau-rayau sekitar kawasan rumah di situ. Malah, kelibat menyeramkan itu dapat dirakam secara kebetulan oleh salah seorang ahli keluarga terbabit.
Ketua keluarga, Mazlan Ali, 55, mendakwa, lembaga itu berpakaian batik lusuh dengan rambut mencecah paras pinggang, sering merayau sekitar rumah anaknya dari waktu malam hingga ke subuh, sebelum menghilangkan diri.
Menurutnya, kesemua lima keluarga yang tinggal di kawasan itu adalah anaknya dan tinggal secara berasingan di rumah masing-masing kerana sudah berumah tangga.
“Ada antara mereka juga pernah melihat kelibat seorang wanita berambut panjang berdiri berdekatan paip air dan sekitar rumah sebelum menghilangkan diri.
“Boleh dikatakan setiap hari pasti ada anak saya yang melihat kelibat wanita itu. Bukan itu saja, malah semalam, (kelmarin) saya sendiri terdengar lembaga itu menjerit meminta tolong,” katanya pada Sinar Harian.
Dua bulan sebelum ini, katanya, kejadian menyeramkan itu tidak pernah dialami ahli keluarganya.
Kemunculan lembaga wanita berambut panjang itu dikatakan bermula selepas dia membawa balik beberapa keping papan serta tiang rumah ke rumahnya.
Menurutnya, kepingan papan dan tiang rumah itu diperoleh dari rumah pusaka ayahnya di Jerangau, Dungun, untuk dijadikan dinding rumah anaknya, Mohd Syawal, 22.
“Saya membawa pulang beberapa papan dan tiang itu ke rumah ini pada November lalu dan sejak itu gangguan lembaga misteri itu, bermula dan kami kerap diganggu dan kini kami sudah tidak tahan lagi dengan gangguan ini dan perlukan bantuan,” katanya.
Menguatkan lagi dakwaan itu, Mohd Syawal turut menunjukkan imej lembaga misteri wanita tua seperti bertongkat yang dirakam secara tidak sengaja oleh ahli keluarganya beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, kata Mohd Syawal, dia sendiri belum pernah melihat kelibat wanita misteri itu tetapi sering diganggu bunyi yang pelik dan menakutkan sehingga menyebabkan dua anaknya tidak dapat tidur serta asyik menangis.
“Bunyi seperti orang mencakar dinding kerap kedengaran di luar rumahnya pada sebelah malam, apabila saya turun tiada sesiapa di bawah. Kami buntu memikirkan cara untuk mengatasi gangguan ini,” katanya.
Penulis dalam bab ni pening kepala pun ada juga. Nak percaya pun susah, taknak percaya pun susah…maklumlah benda-benda ghaib memang wujud sebenarnya.
Kedatangan agama Islam mengajar bahawa tidak terdapat mambang dan hantu, yang ada hanyalah mahkluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Makhluk halus ini yang dikenali sebagai jin, dianggap mendiami alam yang berbeza dengan manusia.
Islam mengajar bahawa makhluk halus atau jin ini tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan keizinan Allah, Islam mengajarkan agar hanya takut dan mengesakan Allah semata-mata.
Datuk Dr Haron Din pernah menyatakan, sepotong ayat al-Quran ada menyebut,”sesungguhnya mereka (mahkluk halus) boleh melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka.”
Namun demikian, katanya, Allah mengizinkan makhluk halus menyerupai rupa bentuk seperti ular hitam yang menakutkan, bayang-bayang, angin ribut dan sebagainya.
”Yang saya tahu, makhluk halus boleh dilihat dengan rupa bentuk yang lain tetapi bukan dalam bentuk asal mereka,” katanya.
Beliau mengisahkan pernah berlaku, ada iblis yang menganggu Rasulullah s.a.w. ketika solat lalu Rasulullah s.a.w. menangkapnya dan terlintas nabi untuk menambat makhluk tersebut di salah satu tiang masjid, sehingga dapat dilihat dan dipermainkan oleh kanak-kanak Madinah.
Namun niat itu dibatalkan kerana katanya, Rasulullah teringat kepada sepotong ayat Al-Quran, yang merujuk kepada Nabi Sulaiman a.s. yang telah pun memohon kepada Allah untuk memberinya kuasa luar biasa dan kuasa memiliki semua jenis makhluk halus, angin dan awan yang tidak boleh ditiru atau dimiliki oleh mana-mana manusia selepasnya dan sehingga ini, tidak ada satu riwayat daripada para sahabat yang pernah melihat melihatkan mahkluk halus yang ditangkap oleh Rasulullah itu.
Katanya, dalam Perang Badar, ada juga kumpulan iblis menyerupai rupa bentuk manusia untuk membantu tentera musuh, yang akhirnya cabut lari setelah berhadapan dengan tentera Islam dan semua kisah ini menunjukkan mahkluk halus boleh menyerupai pelbagai rupa tetapi tidak kepada bentuk asal mereka. Wallahualam - Oleh SYAHRIL A. KADIR
Credit To : My Newshub :)
1 comment:
haih,bia betik!..huhu
Post a Comment